Skip to main content

Dua kanak-kanak mangsa JE di Pulau Pinang

DUA kes Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun.

Kedua kanak-kanak dari Kampung Badak Mati dan Taman Kuang, Sungai Bakap itu dilaporkan mendapatkan rawatan pada Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib berkata, seorang daripada mangsa masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan stabil manakala seorang lagi sudah dibenarkan pulang ke rumah pada hari dia mendapatkan rawatan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sudah meminta Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan di kawasan sekitar lokaliti kes melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan pada Selasa lalu iaitu sehari selepas kes dilaporkan.

"Hasilnya, sebanyak 18 bekas daripada 4,068 diperiksa menemui tempat pembiakan nyamuk Culex dan sudah disembur dengan bahan pembunuh jentik-jentik.

"Selain itu, aktiviti semburan kabus juga dibuat meliputi semua premis berjumlah 1,082 dalam lingkungan dua kilometer radius dari rumah kes," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook JKNPP malam tadi.

Jelasnya, aktiviti pengesanan kes aktif di kawasan kediaman mangsa turut dijalankan yang mana seramai 3,806 penduduk sudah ditemui dan kesemuanya tidak mempunyai gejala JE.

"JKNPP juga mengeluarkan 'JE Alert' kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam pengesanan kes baharu JE," katanya.

Sementara itu, Dr Asmayani berkata, JKNPP turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) bagi membasmi penularan JE di kawasan berkenaan.

"Melalui kerjasama ini, JPVPP memeriksa lapan ladang khinzir yang mana tiga daripadanya terletak dalam lingkungan 1.5 kilometer (KM) dari kawasan kes serta sampel daripada khinzir juga sudah diambil dan dihantar ke makmal untuk pengesanan virus JE.

"Pengusaha ladang khinzir dipohon supaya mematuhi Amalan Penternakan yang baik untuk meningkatkan tahap kebersihan ladang serta bebas daripada tempat pembiakan nyamuk terutamanya nyamuk Culex," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga kelmarin, sebanyak sembilan kes termasuk satu kes kematian membabitkan JE dilaporkan di Malaysia berbanding 12 kes dan tiga kematian bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Kes yg dilaporkan tahun ini adalah tiga dari Sabah, dua (Kedah), dua (Pulau Pinang) dan masing-masing satu dari Sarawak dan Perak.