Skip to main content

Dua kajian susulan setiap tiga bulan untuk bekas pesakit [METROTV]

BEKAS pesakit pulih Covid-19 perlu menjalani dua kajian susulan setiap tiga bulan bagi mengesan antibodi badan atau ketahanan tubuh serta kerosakan paru-paru.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian kerosakan paru-paru itu dilaksanakan melalui kaedah imbasan.

Katanya, kajian itu juga melihat kepada kategori yang dihadapi bekas pesakit itu ketika mereka dijangkiti Covid-19.

"Kategori itu adalah mereka yang dijangkiti tanpa gejala, kategori kedua dijangkiti dengan bergejala, kategori ketiga pesakit yang ada radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen, kategori keempat pesakit dengan radang paru-paru dan memerlukan oksigen serta kategori kelima mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Kajian susulan jangka pendek dan panjang ini untuk melihat perkembangan dan perubahan bekas pesakit ," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Dr Noor Hisham berkata, kajian antibodi pesakit itu dilaksanakan kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati antibodi bekas pesakit tidak dapat bertahan lama dan tiada 'pasport imuniti'.

"Kajian lain di luar negara mendapati antibodi tidak dapat bertahan lama dan ketahanan tubuh mereka tidak kekal, selepas tiga bulan antibodi Immunoglobulin M (IgM) dan Immunoglobulin G (IgG) semakin berkurangan.

"Kajian di China pula sebanyak 17 peratus bekas pesakit menunjukkan imuniti atau ketahanan tubuh kepada jangkitan kedua dan seterusnya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pesakit yang dibenarkan pulang akan diberi kaunseling termasuk langkah pencegahan jangkitan dan menjaga kebersihan.

"Jangkitan virus tiada ketahanan untuk jangkitan kedua. Apa yang penting kita perlu menjalankan kajian setiap tiga bulan, pengalaman dunia mengenai jangkitan ini hanya enam bulan saja (bertahan)," katanya