Skip to main content

DRB-HICOM catat perolehan RM2.74 bilion

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan perolehan mencecah RM2.74 bilion bagi tiga bulan pertama 2020 diterajui sektor automotif yang menjana jualan bernilai RM1.81 bilion.

DRB-HICOM dalam kenyataan berkata, sektor perkhidmatan menjana jualan RM830.49 juta, sementara sektor hartanah merekodkan perolehan sebanyak RM93.3 juta untuk tempoh berkenaan.

"Jualan bagi sektor automotif kekal didahului oleh pengeluar kereta nasional Proton, dengan model pemasangan tempatan (CKD) Proton X70 terus menerajui segmen SUV.

"Bagi suku pertama, Proton menjual 21,757 unit kenderaan, didahului oleh model ikonik Saga dengan lebih 8,800 unit dan X70 mencatat jualan lebih 4,100 unit," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, Persatuan Automotif Malaysia telah mengurangkan unjuran volum keseluruhan industri (TIV) dari 607,000 ke hanya 400,000 unit. "Walaupun pengenalan pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga Disember 2020 dapat membantu TIV naik, prospek untuk ia kembali ke tahap pra-Covid-19 agak kecil.

"Namun, kami akan melancarkan promosi serta memperkenalkan model-model baharu dalam usaha memulihkan jualan," katanya.

Dalam pada itu, sektor perkhidmatan DRB-HICOM pula menyaksikan Pos Malaysia mencatat peningkatan volum hasil permintaan e-dagang serta pemasaran dalam talian yang meningkat.

"Perolehan operasi mel juga mencatat peningkatan kecil terutamanya dalam bulan Februari, walaupun kesan Covid-19 jelas dirasai dalam bulan Mac apabila perolehan menurun.

"Bagi sektor hartanah, pengebilan dalam sub-sektor pembinaan juga menyusut, memberi kesan kepada perolehan," katanya.

Kumpulan berkata, tiada perbandingan suku dapat dilaporkan kerana tahun lalu, DRB-HICOM telah mengubah tahun kewangan mereka untuk tamat pada bulan Disember dari bulan Mac sebelum ini.