Skip to main content

Datang lambat, masjid sudah penuh

KIRA-KIRA 120 jemaah kecewa apabila tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat kali pertama selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Walaupun terpaksa pulang dengan penuh kehampaan, mereka reda disebabkan kesilapan sendiri datang lewat untuk menunaikan solat Junaat.

Tinjauan di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, Kuala Terengganu mendapati ramai jemaah yang membawa sejadah terpaksa pulang selepas pintu pagar ditutup bagi mengelakkan berlaku lebihan jemaah.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid hanya mengehadkan seramai 450 jemaah untuk menunaikan solat Jumaat selepas semua masjid diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk aktiviti masjid terutama solat Jumaat dan solat berjemaah.

Kaedah jemaah terawal diperkenalkan AJK Masjid Sultan Muhammad menyebabkan jemaah lewat terpaksa pulang kehampaan kerana had dibenarkan sudah mencukupi.

Sementara itu, ketika tinjauan dilakukan di Masjid Haji Kadir, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, semua jemaah jemputan erlu menjalani saringan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki dewan solat.

Difahamkan, hanya 200 ahli kariah dijemput untuk menunaikan solat Jumaat selepas 13 minggu masjid ditutup daripada semua aktiviti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan mulai 18 Mac lalu.

Tinjauan mendapati jawatankuasa Masjid Haji Kadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, termasuk penjarakan sosial.

Bagaimanapun, jawatankuasa Masjid Haji Kadir akan menggunakan kaedah jemaah terawal dibenarkan menunaikan solat Jumaat minggu depan selepas ada antara jemaah tidak hadir tanpa sebarang alasan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, 508 masjid di seluruh Terengganu dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat hari ini.

Beliau berkata, jumlah jemaah bergantung kepada keluasan masjid dan dianggarkan kira-kira 178,000 jemaah menunaikan solat hari ini.