Skip to main content

Dasar mesyuarat JKKMAR diteruskan

MESYUARAT Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 12 Bilangan 2 Tahun 2020 yang diadakan secara sidang video hari ini bersetuju meneruskan keputusan dasar dicapai sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, beberapa keputusan penting dicapai antaranya mengadakan mesyuarat JKKMAR dan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan secara berkala selaras dengan Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018.

Selain itu, katanya, memperkukuhkan akauntabiliti dan integriti Ahli Parlimen melalui dasar pengisytiharan harta dan penerimaan hadiah.

"Melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian dan sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif.

"Memantapkan lagi sistem pencegahan rasuah di sektor swasta melalui Beneficiary Ownership dan entiti perniagaan mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mesyuarat juga bersetuju meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi mengelak ketirisan dana awam dan menumpukan kepada isu ekonomi terutamanya kos sara hidup rakyat.

"JKKMAR secara prinsipnya bersetuju dengan syor Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) supaya semua kementerian dan agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan permit dan lesen menerbitkan Garis Panduan Permohonan Lesen yang akan dipaparkan secara dalam talian untuk makluman umum.

"Ini bertujuan mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, meningkatkan integriti dan mengelak berlakunya rasuah," katanya.

Muhyiddin berkata, bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, mesyuarat secara prinsipnya bersetuju satu kajian komprehensif dilaksanakan bagi menambah baik pematuhan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

"Menyedari keperluan mewujudkan dasar bagi menjamin integriti persekitaran digital, mesyuarat secara prinsipnya juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Cyber Security Malaysia supaya satu kajian dilaksanakan bagi mendapatkan bukti empirikal keperluan dasar antirasuah digital serta mengenal pasti keperluan perundangan berkaitan.

"JKKMAR hari ini turut dimaklumkan mengenai Status Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sepertimana yang dinyatakan di dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran, bahawa setiap anggota pentadbiran perlu membuat perisytiharan harta dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mengangkat sumpah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.