Skip to main content

Dakwaan 'tiada penggunaan minyak sawit' tidak sah, kata peguam EU

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang berpangkalan di Eropah menggesa industri minyak sawit untuk mempertimbang membawa dakwaan 'bebas minyak sawit' atau 'tiada minyak sawit' dalam produk makanan ke mahkamah atau pihak berkuasa pentadbiran terpilih negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Menurutnya, ini berikutan tindakan itu tidak sah di bawah undang-undang EU di bawah pelbagai sudut tafsiran serta instrumen perundangan.

Peguam dari FratiniVergano, Paolo R Vergano berkata pada 20 Mei lepas, Suruhanjaya Eropah menyampaikan komunikasi mengenai strategi 'daripada bahan mentah kepada juadah' (F2F) untuk sistem makanan yang baik, sihat dan mesra alam sekitar.

"Di bawah strategi F2F ini, suruhanjaya itu berkata ia akan menyokong 'penguatkuasaan undang-undang mengenai maklumat yang mengelirukan,'" katanya dalam pembentangan slaid bertajuk 'Pasaran EU bagi Minyak Sawit -- Cabaran dan Peluang' di Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Malaysia, mulai 22 hingga 28 Jun.

Vergano berkata dakwaan alam sekitar sering dilihat menjadi generalisasi mengelirukan yang tidak berasas kerana bukan semua minyak sawit adalah tidak mampan alam sekitar, malah, adalah sebaliknya.

"Penggunaan minyak sawit tidak semestinya tidak sihat, kunci kepada kesihatan yang baik adalah diet seimbang termasuk lemak dan minyak.

"Akibatnya, dakwaan 'bebas minyak sawit' melanggar Artikel 7(1) (a) Peraturan Maklumat Makanan EU dan Arahan EU 2006/114EC mengenai pengiklanan yang mengelirukan dan perbandingan," katanya.

Dakwaan seperti 'tiada bahan tambahan' atau 'bebas bahan pengawet' mungkin boleh dibuat selagi ia benar, penggunaan bahan tambahan yang sah dalam makanan dan dakwaan yang tidak mengelirukan.

Sebagai sebahagian daripada strategi F2F EU, Suruhanjaya Eropah mengumumkan hasrat untuk menghasilkan cadangan rangka kerja pelabelan makanan yang mampan untuk memperkasa pengguna agar membuat 'pilihan makanan yang mampan' pada 2024.

"Cadangan ini belum mendapat perhatian ramai, namun, dijangka menjadi amat relevan kepada minyak sawit," katanya.

Malah, Vergano turut menggesa industri minyak sawit untuk bekerja ke arah memastikan rangka kerja pelabelan makanan mampan EU yang akan datang tidak menjadi satu lagi medium untuk mendiskriminasi tanaman berharga itu.

"EU perlu sedar bahawa setakat ini, kawasan hutan di Malaysia berjumlah hampir 53 peratus daripada keluasan tanah. Di EU, walaupun wujud usaha penghutanan semula, kawasan hutan adalah kira-kira 39.5 peratus daripada keluasan tanah pada 2018.

"Malaysia turut melakukan usaha penting untuk memastikan kemampanan industrinya, termasuk pensijilan wajib kepada peladang sawit dan pengeluar minyak sawit di bawah piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.

Beliau turut menyarankan pengeluar minyak sawit terbesar dunia iaitu Indonesia dan Malaysia bersetuju dengan piawaian kemampanan tunggal minyak sawit bagi meningkatkan piawaian Minyak Sawit Mampan Indonesia dan Minyak Sawit Mampan Malaysia dan menyelaraskan dasar dan mekanisme domestik mereka serta dibentang dan dibangunkan dalam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit.

Ia akan turut memberikan kesan positif kepada pelbagai keadaan termasuk penyelesaian pertikaian perdagangan antarabangsa mengikut piawaian yang diamalkan oleh negara-negara ketiga, khususnya diskriminasi terhadap minyak sawit, katanya.

-- BERNAMA