Skip to main content

COVID-19: Singapura catat 214 kes baharu, jumlah keseluruhan 40,818

SINGAPURA: Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 214 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kini menjangkau 40,818 kes.

Terdapat hanya tiga kes dalam komuniti dan sebahagian besarnya melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,796 sebagai kes jangkitan dalam komuniti, 581 kes import dan 38,227 kes lagi melibatkan pekerja asing tinggal di asrama.

Setakat tengah hari Ahad, 29,589 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti komuniti.

Terdapat 238 kes positif yang masih dirawat di hospital dengan dua berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Menurut Kementerian itu, 10,751 kes yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini, 26 telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19.

Tidak ada kluster baharu yang dikenal pasti pada Ahad.

Kluster terbesar di Singapura, S11 Dormitory @ Punggol mempunyai 2,748 kes yang disahkan sementara asrama terbesar di republik itu, Sungei Tengah Lodge mempunyai 2,039 kes.

-- BERNAMA