Skip to main content

COVID-19: Singapura catat 113 kes baharu, lima kes dalam komuniti

SINGAPURA: Singapura melaporkan 113 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini , dengan lima daripadanya adalah kes dalam komuniti.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 42,736 kes, sejak kes pertama yang dikesan pada 23 Jan.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan setakat tengah hari, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata satu daripada lima kes dalam komuniti, ialah warga Singapura dan empat yang lain adalah pemegang pas kerja.

Kementerian itu memaklumkan sebahagian besar kes adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,835 sebagai kes jangkitan dalam komuniti, 581 kes dari luar dengan 40,207 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama. COVID-SINGAPURA (KES) 2 (AKHIR) SINGAPURA

Setakat tengah hari semalam, 36,299 kes atau kira-kira 85 peratus daripada jumlah pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Terdapat 189 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan satu berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, kata kementerian itu.

Ia berkata 6,109 pesakit yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat ini, 26 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di republik itu, dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Dua kluster baharu dikenal pasti pada Rabu, di Keppel Shipyard, 51, Pioneer Sector 1 dan sebuah asrama di 52, Tech Park Crescent

-- BERNAMA