Skip to main content

COVID-19: Negara ASEAN perlu terbuka dalam perkongsian data

KUALA LUMPUR: Usaha menangani wabak COVID-19 secara menyeluruh di negara-negara Asia Tenggara perlu dimulakan dengan kesediaan berkongsi data bagi membolehkan satu pelan atau tindakan lebih efektif dilaksanakan.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, tanggungjawab itu bukan hanya dipikul oleh pemimpin utama sesebuah negara, tetapi juga perlu menjadi agenda semua wakil kerajaan.

"Isu ini masih mendesak sebenarnya kerana kalau dilihat dari segi angka, jumlah jangkitan masih meningkat dalam kalangan negara Asia Tenggara.

"Perlu ada koordinasi dan perbincangan antara pemimpin dan wakil kerajaan untuk membolehkan langkah lebih efektif diambil.

"Penting juga untuk adanya political will (kehendak politik) kerana kita bukan sahaja hendak mengurangkan jangkitan tetapi kita juga mahu melihat pasca pandemik, yang tentunya membabitkan pembukaan semula ekonomi dan sempadan," katanya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI, pada Khamis.

Sementara itu, Felo Kanan Institut Perhubungan Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun, menyeru negara anggota ASEAN untuk mempraktikkan amalan perkongsian tele-medicine yang dilihat mampu membantu negara-negara yang mungkin mengalami masalah kekurangan fasiliti kesihatan.

"Bantuan material dan wang itu penting, tetapi penting juga untuk ada langkah bagi membantu mereka dalam jangka panjang.

"Selain berkongsi perkembangan semasa, negara-negara juga perlu berkongsi pengetahuan berkaitan polisi kesihatan umum. Contohnya seperti Malaysia yang berjaya mengurangkan jangkitan, apa yang mereka lakukan untuk sampai ke tahap itu?

"Bantuan dalam bentuk pertukaran pengetahuan ini boleh dijalankan menerusi kaedah dalam talian sahaja dan saya percaya ia akan sangat membantu," katanya.