--> Skip to main content

COVID-19: Kapasiti, keupayaan makmal ujian saringan meningkat hampir 35,000 sehari

PUTRAJAYA: Kapasiti dan keupayaan makmal ujian sampel saringan dan pengesanan COVID-19 di negara ini meningkat kepada hampir 35,000 kes sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 53 makmal di seluruh negara berbanding 23 makmal sebelum ini.

"Jadi kita menggunakan Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (Simka).

"Dengan ada Simka, kita perlu dapatkan data-data daripada pihak awam dan makmal-makmal swasta, kita kumpul dan menjejaki kes-kes yang dilaksanakan," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, jelas Dr Noor Hisham, KKM tidak memberikan perkhidmatan percuma kepada orang ramai untuk menjalani ujian sampel COVID-19.

Katanya, ujian tersebut hanya dijalankan sekiranya individu terbabit mempunyai kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh KKM.

"Kita hanya beri kalau pesakit di bawah pemantauan (PUI), mereka yang kembali dari luar negara dan mereka yang disyaki dalam kumpulan pengesanan kes atau kontak rapat.

"Kalau mereka terdedah kepada kes positif, kita akan laksanakan (ujian saringan di hospital KKM), tetapi kalau mereka tampil ke depan untuk disaring (tanpa kriteria yang ditetapkan), kita tidak akan laksanakan," ujarnya.