Skip to main content

Covid-19: Jangan sesuka hati tanggal 'wristband'

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk sentiasa mematuhi arahan ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan individu itu didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Sebagai contoh, katanya, bagi pengembara pulang dari luar negara diwajibkan memakai gelang tangan (wristband) sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah.

"Bagi pengembara pulang dari luar negara, saringan gejala dan pengambilan sampel bagi Covid-19 akan dijalankan di pintu masuk antarabangsa.

"Pengembara ini akan diberikan beberapa arahan termasuk surat arahan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

"Arahan pemakaian gelang tangan selama tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, borang Home Assessment Tool selain perlu memuat turun aplikasi MySejahtera," katanya pada dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, gelang tangan akan dipakaikan kepada pengembara ini sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Sekiranya gelang tangan itu ditanggalkan sebelum tamat pemerhatian tamat, individu berkenaan akan dikenakan tindakan.

"Gelang ini hanya akan ditanggalkan oleh pegawai yang diberi kuasa selepas tempoh pengawasan dan pemerhatian terhadap individu itu," katanya.

Selain itu, katanya, individu yang berkenaan perlulah kekal berada di dalam rumah sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, individu itu juga mesti mengasingkan diri daripada ahli keluarga lain bagi mengelakkan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

"Individu ini turut perlu sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang baik

seperti membasuh tangan dengan air atau sabun, atau menggunakan hand sanitizer.

"Pastikan tidak berkongsi peralatan peribadi dengan ahli keluarga yang lain. Perlu diingatkan, ahli keluarga bagi individu yang menjalankan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah ini juga memainkan peranan penting dengan sentiasa mengingatkan individu berkenaan mematuhi arahan ditetapkan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tanggungjawab individu dan ahli keluarga berkenaan sangat penting kepada masyarakat bagi mengelakkan penularan Covid-19.