--> Skip to main content

COVID-19: Ibu positif pandemik digalakkan terus menyusukan bayi

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan ibu terus memberi bayi mereka susu badan biarpun ibu menghidap simptom COVID-19.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata manfaat susu ibu adalah lebih besar daripada risiko yang timbul jika ia diberhentikan.

Tambahnya, kanak kanak secara relatifnya kurang berisiko untuk menghidap COVID-19.

Menurutnya, ibu yang disahkan menghidap COVID-19 harus digalakkan untuk memulakan atau meneruskan pemberian susu ibu melainkan jika ibu tersebut sangat tidak sihat.

Sementara itu, Penasihat Kanan Ekonomi White House, Larry Kudlow berkata tiada puncak kedua dalam penularan COVID-19 di Amerika Syarikat.

Katanya, kes yang kembali meningkat di AS hanya berlaku di beberapa tempat.

Secara amnya, Larry menambah kes di AS menurun dan kadar kematian juga telah mendatar.

Ujarnya, tiada situasi kecemasan ketika ini dan dia tidak tahu mengapa pasaran saham di Wall Street jatuh pada Khamis.

Pada Khamis, indeks Dow Jones jatuh lebih 1,800 mata atau 6.9 peratus akibat kekhuatiran tentang penularan semula COVID-19 di AS. Namun, Wall Street ditutup positif pada Jumaat.

Dalam pada itu di United Kingdom, perdana menteri Boris Johnson mendakwa sudah menjangkakan ekonomi negara berkenaan akan jatuh teruk akibat COVID-19.

Ekonomi negara itu menguncup 20.4 peratus untuk sebulan penuh negara itu dilanda COVID-19 pada April.

Tambahnya ini kerana ekonomi UK berasaskan perkhidmatan dan memerlukan interaksi sesama manusia.

Johnson dalam masa yang sama percaya, ekonomi UK akan kembali mengukuh selepas pandemik itu berakhir.

Pada Mac, ekonomi UK menguncup 5.8 peratus.