Skip to main content

Covid-19: Hulu Langat, Kajang Zon Hijau

KES aktif Covid-19 di Selangor kembali meningkat membabitkan pertambahan lima kes baharu direkodkan sehingga petang semalam.

"Pertambahan lima kes baharu ini membabitkan tiga kes tempatan dan dua kes luar negara.

"Tiga kes tempatan baharu adalah satu kes di mukim Kapar (saringan tahfiz), satu kes di mukim Ampang (saringan close contact) dan satu kes di mukim Setapak (saringan mass sampling Bukit Bintang)

"Pertambahan sebanyak 11 kes discaj, bagaimanapun tiada pertambahan kes kematian direkodkan hari ini," demikian perkongsian di laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sehingga 5.30 petang semalam.

Sementara itu, sehingga petang semalam juga Facebook rasmi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melaporkan mukim Hulu Langat dan Kajang bebas daripada kes aktif yang menjadikannya Zon Hijau.

"Dengan sikap yang bertanggungjawab iaitu mengamalkan normal baru serta tidak melanggar SOP yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Negeri, Selangor mampu menjadi negeri yang selamat dari Covid-19," katanya.

Sementara itu, jumlah kes aktif di daerah lain adalah Sepang (9), Gombak (9), Kuala Selangor (9), Klang (4), Kuala Langat (3), Petaling (2) dan Sabak Bernam (2), Hulu Selangor (2).

Sehingga kini, Selangor merekodkan sejumlah 2,032 kes terkumpul, 1,840 kes sembuh, 42 kes aktif dan kematian kekal pada 24 orang.