Skip to main content

Covid-19: 54 kes pulih, 41 kes positif baharu

TERDAPAT 54 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 7,400 kes dengan kadar kesembuhan 87.1 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 41 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 8,494 kes positif keseluruhan.

Katanya, 41 kes berkenaan membabitkan tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 38 lagi kes membabitkan penularan di dalam negara iaitu membabitkan 32 bukan warganegara dan enam kes warganegara.

"Daripada 32 kes bukan warganegara itu, satu kes di Wilayah Persekutuan membabitkan saringan di tempat kerja dan 31 kes di Negeri Sembilan iaitu 14 kes di Akademi Imigresen membabitkan Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan dikuarantin selama 14 hari, 15 kes Kluster Pedas dan dua kes syarikat pembersihan.

"Manakala enam kes warganegara pula membabitkan dua kes di Selangor iaitu pusat jagaan warga emas di Kuala Selangor dan kontak rapat pesakit, dua kes di Melaka iaitu kontak rapat pesakit dan 1 kes saringan pelajar tahfiz manakala di Negeri Sembilan terdapat satu kes saringan pelajar tahfiz dan satu kes di Sabah membabitkan kontak rapat kepada kes kematian akibat Covid-19.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 973 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, empat kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.