Skip to main content

Covid-19: 333 individu pulih, 11 kes baharu

SERAMAI 333 individu pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya ialah 7,733 kes iaitu 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah individu yang pulih itu, 307 daripadanya adalah bukan warga negara, manakala 26 kes dalam kalangan warga negara.

Sehingga 12 tengah hari ini terdapat 11 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,505 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 651 kes dan mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan.

"Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import warga negara yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 10 kes penularan di dalam negara, enam kes adalah bukan warga negara, manakala empat kes adalah dalam kalangan warga negara Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.