Skip to main content

COVID-19: 33 kes baharu, 103 pulih dan satu kematian

PUTRAJAYA : 33 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,402 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, 16 kes  merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 17 kes penularan dalam negara melibatkan 14 bukan warganegara dan tiga warganegara Malaysia.

"Daripada 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah bukan warganegara dan tiga (3) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia. Tiga kes di kalangan warganegara  melibatkan satu kes saringan kontak kepada kes positif (kes ke-7735) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,  satu kes saringan pusat tahfiz di Selangor, dan satu kes saringan kepada kes kematian di dalam komuniti seperti dilaporkan di atas iaitu kes kematian ke-119.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,402 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,115 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," kata beliau lagi. 

Sehingga kini, sebanyak empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, 103 kes pulih dan dibenarkan discaj. 

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,168 kes (85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," tambahnya. 

Dalam pada itu, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 119 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

"Kes kematian ke-119 (kes ke-8370) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Beliau telah meninggal dunia pada 11 Jun 2020 di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Keningau, Sabah. Ujian saringan ke atas beliau telah didapati positif COVID-19," ujarnya.