Skip to main content

Covid-19: 33 kes baharu, 103 pulih, 1 kematian

JUMLAH kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara meningkat kepada 7,168 kes, 85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

Peningkatan itu susulan pertambahan 103 kes lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari ini, 33 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 8,402 kes keseluruhan dalam negara.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes itu, jumlah kes aktif dengan keboleh jangkitan Covid-19 adalah 1,115 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Ingin dimaklumkan daripada 33 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah bukan warganegara dan tiga kes adalah dalam kalangan warga Malaysia.

"Perincian bagi tiga kes dalam kalangan warga Malaysia adalah satu kes saringan kontak kepada kes positif ke-7,735 di Kuala Lumpur, satu kes saringan pusat tahfiz di Selangor dan satu kes saringan kepada kes kematian di dalam komuniti (kes kematian ke-119)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak empat kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19, justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 119 kes, 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.