Skip to main content

Choong Hann tagih sentuhan asli

PENGARAH kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, Wong Choong Hann memberi kebebasan buat dua jurulatih baru, Chan Chong Ming dan Flandy Limpele untuk mencorakkan sendiri program latihan kepada pemain.

Menurutnya, dengan cara berkenaan kedua-dua jurulatih beregu wanita dan lelaki itu dapat menjaga keaslian program latihan masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

"Saya rasa mereka sudah ada perancangan, kita serahkan semuanya kepada mereka. Biar mereka melihat dan menilai dengan mata sendiri pemain yang sedia ada," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, kedua-dua jurulatih berkenaan harus diberikan peluang untuk memahami pemain.

"Selepas itu barulah kita boleh melakukan penambahbaikan tapi bukan tukar atau pantau semua program mereka. Paling penting pemain boleh menyesuaikan diri dengan pengajaran baru.

"Buat masa sekarang kita boleh saja untuk mempersiapkan program latihan agar pemain dalam keadaan bersedia. Masalahnya kejohanan masih belum tentu dapat diadakan atau belum. Pemain pun tertanya-tanya dan keraguan," katanya.

Kata Choong Hann, mereka boleh saya untuk menetapkan latihan kepada tahap maksimum tapi jika tiada kejohanan pemain tidak ada tempat untuk melepaskan segala yang tertanggung ketika berlatih.

"Kita mahu terus dengan latihan keras dan mengharapkan mereka dapat mengekalkannya sehingga kejohanan bermula memang tidak boleh, ia perlu ada intonasi naik turun sebelum kalendar terkini diputuskan," katanya.

Chong Ming dan Flandy dijangka melapor diri untuk memulakan tugasan mereka awal bulan depan.

"Cuma sekarang kita harus berusaha untuk membawa jurulatih Flandy lebih awal, selepas ia mempunyai kaitan dengan kebenaran masuk di pintu sempadan," katanya.