--> Skip to main content

Chini Memilih: Golongan ibu tunggal akan terus dibantu jika diberi mandat - Sharim

PEKAN : Golongan ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak akan dipinggirkan daripada terus menerima bantuan.

Menurut calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, golongan itu antara yang akan diberi perhatian utama jika beliau diberi mandat pada 4 Julai depan.

"Kita (BN) akan cuba untuk memastikan produk yang telah diusahakan oleh ibu tunggal untuk dijadikan satu produk untuk warga Chini.

"Pastinya kita akan cuba melihat daripada golongan wanita yang ada dan kita akan cuma melihat pada minat yang ada dan cuba untuk membantu melalui agensi kerajaan yang ada di Pahang," katanya ketika ditemui dalam kempen bersama pengundi di Kampung Salong pada Jumaat.

Ujarnya, sebelum ini pelbagai kemudahan dan bantuan telah diberikan kepada ibu tunggal di kawasan itu dibawah pentadbiran penyandang kerusi DUN itu Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

"Dulu masa Allayarham Datuk Seri Abu Bakar banyak beri sumbangan kepada ibu miskin dan cara membantu mereka untuk berdikari dan meningkatkan pendapatan," kata Sharim.

PRK DUN Chini, yang memiliki keluasan 590.23 kilometer persegi, menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli. Pengundian ditetapkan pada 4 Julai ini.

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal.