Skip to main content

CEO Petronas letak jawatan?

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilaporkan meletak jawatan dan bakal diganti dengan seorang profesional, menurut sumber.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, tarikh akhir Wan Zulkiflee berkhidmat belum diputuskan.

Semakan Astro AWANI di laman sesawang Petronas mendapati Wan Zulkiflee masih memegang jawatan itu.

Wan Zulkiflee menyertai Petronas pada 1983 sebagai Jurutera Proses dan tahun ini merupakan tahun ke-37 beliau bersama Petronas.

Kontrak Wan Zulkiflee bersama Petronas diperbaharui pada 1 April 2018 untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga April 2021.

Justeru perletakan jawatan beliau menjadikannya CEO yang meninggalkan jawatan itu sebelum tamat tempoh.

Beliau mula memegang jawatan Presiden dan CEO pada 1 April 2015.

Sepanjang lebih tiga dekad, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Berhad pada 2003 hingga 2007 dan Naib Presiden Perniagaan Gas dari 2006 hingga 2010.

Pada 2012 beliau dilantik menjadi Ketua Pegawai Operasi PETRONAS.

Astro AWANI masih cuba mendapatkan pengesahan dari Petronas.