Skip to main content

Cavani, Silva ucap selamat tinggal

EDINSON Cavani dan Thiago Silva bersedia untuk meninggalkan Paris St Germain (PSG) sebaik berakhirnya saingan Liga Juara-Juara musim ini Ogos depan.

Cavani yang juga penyerang antarabangsa Uruguay berusia 33 tahun merekodkan 200 gol buat PSG dan pertahanan kelahiran Brazil, Silva adalah ketua pasukan.

"Ia keputusan yang sukar untuk dilakukan mereka dalah pemain yang datang mencipta sejarah buat pasukan.

"Kisah mereka sangat menarik tapi kita sudah membuat keputusan," kata Pengarah Sukan PSG, Leonardo.

Kedua-dua pemain berkenaan akan tamat pada 30 Jun namun saingan Ligue 1 sudah dibatalkan April lalu dan kini hanya tinggal Liga Juara-Juara saja yang harus dilalui kelab berkenaan Ogos depan.

PSG akan kembali menyambung latihan pada 22 Jun dan sebelum ini berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menumpaskan Borussia Dortmun Mac lalu sebelum saingan bola sepak ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Cavani meminta untuk meninggalkan juara Perancis itu Januari lalu selepas dikehendaki kelab Sepanyol, Atletico Madrid dan dia juga dikaitkan dengan Manchester United serta Chelsea.

Bulan lalu, PSG menandatangani penyerang, Mauro Icardi bernilai £54 juta (RM289 juta) dari Inter Milan.

Ditanya mengenai status penyerang Neymar dan Kylian Mbappe, Leonardo berkata, kedua-dua pemain masih mempunyai kontrak dua tahun dan masih mengharapkan dapat mengekalkan kedua-dua penyerang masa akan datang.