Skip to main content

Busker sambut baik kebenaran kerajaan berkarya dalam normal baharu

KUALA LUMPUR: Ketika kebih banyak sektor perniagaan kini dibuka secara berperingkat seperti diumumkan kerajaan, tidak terkecuali golongan busker atau pemuzik jalanan yang turut menerima berita gembira apabila dibenarkan menjalankan aktiviti mulai 10 Jun ini.

Bagi pemuzik jalanan sepenuh masa Muhammad Khairil Hafizi Mustafa Al Bakri, 30, atau lebih dikenali dengan nama panggilannya "Kuku", meskipun berdepan saat sukar apabila hilang pendapatan sejak 18 Mac lalu, beliau bersyukur apabila punca rezekinya sejak lima tahun lalu akan dibenarkan semula. 

"Saya rasa bersyukur sangat dapat berpeluang teruskan kerjaya dan cari rezeki sebagai pemain muzik sepenuh masa di kedai makan dan kafe walaupun kebarangkalian (sambutan) pelanggan tidak seperti dulu.

"Tetapi apa yang penting, kita tawakal.

"Harapan saya kepada rakyat Malaysia agar terus ikuti arahan ditetapkan oleh kerajaan bagi tangani pandemik COVID-19 ini," katanya.

Muhammad Khairil Hafizi bermain muzik secara dalam talian sepanjang PKP dikuatkuasakan. Gambar: Astro Awani

Mengulas mengenai normal baharu, ujar Muhammad Khairil, dia akan meneruskan aktiviti busking secara langsung dalam talian bagi mendapat pendapatan lebih.

"Busking di kafe dan kedai makan saya akan jalankan seperti biasa, cuma dengan penjarakan sosial dan normal baharu itu diterapkan.

"Pada masa sama, saya akan teruskan bermain muzik secara langsung di platform media sosial seperti mana yang dilakukan sejak tiga bulan lalu," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.