Skip to main content

Bukit Bunga kembali meriah

DESTINASI membeli-belah, Bukit Bunga yang terletak di laluan Lebuh Raya Utama Timur Barat, di Tanah Merah, kembali meriah dengan pengunjung.

Lokasinya di laluan menghubungkan Kelantan dengan Perak termasuk beberapa negeri di utara, ia menjadi tumpuan perantau atau penduduk setempat sendiri yang singgah untuk membeli ole-ole.

Seorang peniaga, Wan Haila Wan Hassan, 27, berkata kemeriahan itu mula dirasai sejak tiga hari lalu selepas sekian lama tiada pengunjung disebabkan pandemik Covid-19.

"Sejak Jumaat lalu, suasana di kawasan ini meriah dan kami sebagai penjual gembira kerana sudah hampir tiga bulan 'dapur tak berasap'.

"Segelintir daripada lebih 100 peniaga mula berniaga sejak Ramadan lalu namun pengunjung hanya dapat dikira dengan jari dan itu pun terdiri daripada penduduk sekitar yang hanya keluar mencuci mata.

"Perubahan mengejut berlaku sebaik kerajaan memberi kebenaran rentas negeri yang mana pembeli mula memenuhi lot kedai di sini dan mereka adalah perantau yang singgah sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau kembali ke negeri asal," katanya ketika ditemui hari ini.

Kegembiraan yang sama dirasai Wan Nur Anis Wan Ali, 24, yang memberitahu banyak makanan ringan, kudapan atau keropok keping yang tidak terjual sebelum ini terpaksa dibuang kerana rosak disebabkan melebihi tarikh luput.

"Kebetulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada 18 Mac lalu saya banyak mengambil stok makanan dijual kerana ketika itu menjelang cuti persekolahan.

"Dugaan buat kami apabila kerajaan mengumumkan PKP yang menyebabkan operasi perniagaan tergendala dan walaupun sudah dibenarkan berniaga sebulan selepas itu, tetap tiada pembeli menyebabkan banyak makanan terpaksa dibuang.

"Tapi sejak beberapa hari sebelum Aidilfitri sehingga kini pelanggan mulai ramai seperti biasa dan dapatlah merasa untung walau tidak banyak," katanya.