Skip to main content

Budak Tebing versi Lang Merah

BINTANG muda Kedah, Aiman Afif menjadi perhatian netizen terutama penyokong Lang Merah apabila wajahnya dikatakan seiras wajah pelakon popular drama bersiri TV3 Budak Tebing dan telefilem, Heri Bota, Aedy Ashraf.

Melalui paparan foto terkini yang dimuat naik Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) semasa menghadiri latihan tertutup pasukan di Stadium Darul Aman semalam, Aiman mendapat paling banyak komen berkaitan wajahnya yang disifatkan netizen mirip wajah pelakon popular itu.

Salah satu komen dalam laman Facebook KFA dengan nama Sofi Terekta mengakui terkejut apabila melihat muka kedua-dua personaliti ini seakan sama.

"Adik kembaq dia kot muka sama la," katanya.

Sementara itu seorang lagi peminat Kedah dengan nama Farid Kamal turut mengakui muka Aiman Afif seiras dengan Aedy.

"Baru nak komen muka dia macam pelakon Budak Tebing, tapi tengok ada komen awal lagi," katanya.

Rafsan Zainon pula secara berseloroh mengakui hairan sejak bilakah Aedy menjadi pemain pasukan Kedah.

"Sejak bila 'Aedy Ashraf' join kedah?," katanya.

Nama Aiman semakin disebut dalam skuad Lang Merah sejak kemasukannya pada Disember tahun lalu dengan KFA mengikat kontrak jangka panjang pemain itu sehingga 2024 dengan klausa perlepasan dikatakan bernilai jutaan ringgit.

Aiman, 19, adalah pemain bakat muda Kedah berasal dari Jitra dan sudah beraksi dalam skuad Piala Presiden sebelum ini.

Dia dipanggil oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin untuk bersama skuad Lang Merah dalam perlawanan menentang Terengganu pada musim lalu.

Aiman yang kini berusia 19 tahun, turut mempamerkan prestasi cemerlang ketika mewakili skuad negara bawah 18 tahun (B-18) dalam saingan kelayakan AFC B-19 tahun lalu dimana dia menjaringkan tujuh gol dalam kejohanan itu.