Skip to main content

Buaya sesat di Pantai Irama

[email protected]@hmetro.com.my

KEHADIRAN seekor buaya di Pantai Irama, Bachok selama sejam hari ini menarik perhatian pengunjung pantai itu.

Buaya itu muncul secara tiba-tiba pada 10.30 pagi di permukaan laut berhampiran beting pasir yang menempatkan papan tanda Pantai Irama.

Saksi kejadian, Mohd Maher Ismail, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang menjaja ais krim sebelum terdengar kekecohan dalam kalangan pengunjung dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas menyedari kehadiran reptilia itu.

Menurutnya, buaya itu berenang kira-kira 40 meter dari tebing pantai sebelum menghilang.

"Selepas tahu ada buaya di permukaan laut, saya terus menghampiri kawasan pantai dan merakam video.

"Buaya itu berenang kira-kira sejam sebelum hilang," katanya ketika dihubungi.

Mohd Maher berkata, sejak berniaga di situ sejak setahun lalu, kali pertama dia melihat reptilia itu di pantai berkenaan.

Difahamkan, selain berenang, buaya itu turut ke pesisiran pantai beberapa minit dan gambar buaya itu sempat dirakam pengunjung.

Terdahulu, rakaman video kehadiran buaya itu dikongsi Mohd Maher di akuan Facebook miliknya dan mendapat 515 komen, 1,100 perkongsian dan 34,000 paparan selain turut ditularkan di beberapa laman kumpulan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berkenaan kehadiran reptilia itu yang dipercayai tersesat daripada sungai berdekatan.

Menurutnya, pihak polis bersama agensi terbabit seperti APM, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Bachok dan Jabatan Perhilitan negeri akan berusaha untuk mengesan bagaimana kehadiran sang bedal di kawasan pantai rekreasi itu.

"Setakat ini tindakan polis adalah melarang orang ramai mandi serta terlalu dekat dengan kawasan pantai kerana apa yang penting adalah keselamatan pengunjung," katanya.