Skip to main content

Bremen tenat, Union selamat

WERDER Bremen berada di ambang tersingkir dari Bundesliga selepas tumpas di laman sendiri 0-1 kepada Wolfsburg semalam, manakala Union Berlin berjaya meletakkan kedudukan selamat dari zon penyingkiran.

Tandukan Wout Weghorst yang menghasilkan jaringan kemenangan buat Wolfsburg lapan minit sebelum saingan tamat berjaya melonjakkan pasukannya ke kedudukan keenam dan berada di slot melayakkan diri ke Liga Europa.

Jaringan liga ke-12 pemain antarabangsa Belanda itu hadir selepas beberapa saat rembatan Xaver Schlager tersasar melepasi palang dan menyaksikan Werder berdepan penyingkiran buat kali pertama sejak 1980.

"Ia sangat mengecewakan tapi semuanya tidak mustahil. Kami akan memberikan segalanya sehingga akhir saingan," kata ketua pasukan Werder, Niklas Moisander.

Berbaki empat perlawanan, pasukan bimbingan Florian Kohfeldt berada di tangga kedua terbawah, enam mata dari zon selamat dan tiga mata dari kedudukan playoff penyingkiran selepas tumpas dua kali berturut-turut di gelanggang sendiri.

Bremen adalah pasukan paling sedikit menghasilkan jaringan setakat ini dengan 30 gol dan hanya mencatat sekali kemenangan di laman sendiri selepas tumpas 11 kali.

Mereka akan berkunjung menentang pasukan tangga tercorot Paderborn hujung minggu ini dan bakal menjadi penentuan hidup mati mereka.

Sementara itu, Union Berlin yang menjadi pasukan pilihan untuk tersingkir apabila beraksi buat kali pertama di Bundesliga mencatat keputusan seri 1-1 menentang Schalke.

Union di tangga ke-14 dengan mengumpul 32 mata, tujuh mata di depan Werder yang berada di kedudukan penyingkiran automatik dan empat mata dari kedudukan playoff penyingkiran.

Bagaimanapun, penyerang Nigeria, Anthony Ujah gagal untuk menjaringkan gol seperti yang dijanjikan sebelum ini dan hanya menghasilkan gerakan bagi membolehkan Robert Andrich melakukan gol pembukaan pada minit ke-11.

Union yang sama mata dengan Augsburg, berjaya mencari gol penyamaan pada minit ke-88 melalui Philipp Max.