Skip to main content

Boleh minta bukti tukang gunting bebas Covid-19 [METROTV]

PELANGGAN premis gunting rambut mempunyai hak meminta bukti pekerja warga asing di kedai terbabit bebas jangkitan Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, apabila kerajaan membenarkan pembukaan semula kedai gunting rambut, antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah memastikan tukang gunting rambut warga asing melakukan ujian calitan (swab test) Covid-19 disertai keputusan negatif.

Disebabkan itu katanya, setiap klinik yang melakukan ujian terbabit tentunya akan mengeluarkan surat mengesahkan tiada jangkitan Covid-19 pada individu berkenaan.

"Sekiranya kita masuk ke kedai gunting rambut terbabit, kita dapati tukang gunting rambut itu adalah warga asing, kita boleh minta bukti mengatakan mereka bebas Covid-19 menerusi surat yang dikeluarkan oleh klinik tempat mereka melakukan swab test.

"Ini kerana syarat kita (kerajaan) adalah mereka (tukang gunting rambut warga asing) perlu membuat swab test terlebih dulu dan jika negatif barulah mereka boleh meneruskan kerja," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail meminta pelanggan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat tukang gunting rambut yang gagal mengemukakan bukti berkenaan.

"Kita minta pelanggan bantu kerajaan misalnya jika diminta (bukti) dan tukang gunting rambut terbabit gagal untuk kemukakan, sila lapor segera kepada pihak berkuasa.

"Apalagi jika tukang gunting rambutnya dikenal pasti sebagai warga asing, saya minta supaya pelanggan bertegas untuk melihat surat bukti, ini yang sebaiknya supaya dapat membantu kerajaan mengenal pasti pekerja asing yang masih belum mempunyai surat (pengesahan negatif Covid-19) bermakna mereka tidak membuat saringan dan ini melanggar perintah yang dikeluarkan kerajaan, tindakan akan diambil ke atas premis terbabit," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beliau ditanya mengenai kesahihan tular di media sosial berhubung seorang tukang gunting rambut di Setapak, Kuala Lumpur yang dikatakan positif Covid-19 selepas dua hari beroperasi.

Menjawab soalan itu, Ismail berkata, pihaknya masih belum mendapat laporan terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun akan memastikan premis gunting rambut berkenaan ditutup jika ia benar.

Jelasnya, langkah itu akan disusuli dengan pelaksanaan ujian saringan untuk kesemua kontak rapat premis terbabit termasuk pelanggan yang pernah mengunjungi kedai itu.

"Itulah pentingnya kita mengisi butiran lengkap kita seperti nama dan nombor telefon kerana pengesanan kontak rapat boleh dibuat kalau timbul kes positif seperti ini.

"Sama ada pelanggan, rakan pelanggan, tukang gunting lain yang ada bersama di kedai, semuanya boleh kita saring termasuklah rakan serumah tukang gunting ini jika dia tinggal di rumah sewa bagi memastikan status kesihatan mereka," katanya.

Berita berkaitan

• Tukang gunting rambut disyaki positif Covid-19