Skip to main content

Bintang Lang Merah sedia umum penamatan kontrak

"SAYA akan membuat pengumuman sendiri berkaitan pelepasan kontrak saya selepas segala urusan dipihak saya dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah selesai."

Demikian reaksi bintang Lang Merah yang masih enggan namanya diketahui selepas tersebar berita memohon untuk menamatkan kontrak dua hari lalu.

Pemain berkenaan berkata, lanjutan dari tindakan mengemukakan surat permohonan penamatan kontrak kepada pihak KFA, dia kini hanya menanti masa yang sesuai untuk membuat pengumuman rasmi dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Saya tidak mahu terburu-buru untuk membuat sebarang pengumuman sekarang, kerana ada beberapa perkara yang perlu saya rujuk terlebih dahulu dan apabila segala urusan berkenaan sudah selesai, saya akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.

"Saya tetap menghormati pihak KFA yang memberi kerjasama yang baik selama ini dan saya yakin KFA mampu menyelesaikan segala proses penamatan kontrak ini dengan sempurna.

"Jadi saya berharap segala spekulasi dan tekaan penyokong tidak akan berpanjangan dan memberi persepsi yang kurang tepat kerana bukan niat saya meninggalkan pasukan kerana gaji, tetapi perkara ini saya lakukan atas kehendak peribadi." katanya.

Pemain berpengalaman ini juga berharap perkara (penamatan kontrak) ini tidak dipandang secara negatif oleh semua pihak dan penyokong Kedah meskipun mengundang banyak persoalan, kerana pada masa yang sama dia turut mengakui pasukan Kedah masih berada dalam keadaan yang baik.

"Saya tidak rela dilabelkan sebagai pemain tidak setia disaat pasukan berdepan masalah tunggakan gaji, tetapi saya memohon semua pihak agar tenang dan menerima keputusan saya dengan hati yang terbuka." katanya.

Khamis lalu, seorang pemain tempatan skuad Lang Merah telah memberi bayangan akan mengundur diri termasuk menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam tempoh terdekat.

Pemain berkenaan juga dikhabarkan sudah mengemukan surat permohonan penamatan kontrak melalui wakilnya pada 29 Mei lalu, dan pihak KFA dikatakan sudah memberi maklumbalas terhadap permohonan tersebut.