Skip to main content

Berkorban apa saja...

WANITA sanggup mengabaikan penyakit dialaminya untuk menjaga anak saudaranya yang menghidap penyakit sawan sejak 15 tahun lalu.

Lebih mengharukan, Athma Hamzah, 60, dari Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir di Kuala Nerus terpaksa berkongsi makanan dan keperluan asas hasil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diperolehinya sebanyak RM200 sebulan dengan anak saudaranya, Mohd Fauzie Anuwar, 35, itu.

Athma yang juga penghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan rabun terpaksa ke klinik kesihatan sebulan sekali untuk mendapatkan rawatan susulan.

Mohd Fauzie yang juga tidak berkerja dan tidak mendapat sebarang bantuan turut terpaksa berulang-alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Athma menjelaskan, Mohd Fauzie adalah anak kepada abangnya yang sudah meninggal dunia sejak lebih 10 tahun lalu.

"Saya tidak pernah berkahwin dan selepas semua adik-beradik meninggal dunia lebih tujuh tahun lalu, Mohd Fauzie dianggap sebagai 'anak' yang sentiasa menemani kehidupan seharian saya," katanya selepas dilawati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun pada program ziarah komuniti di rumahnya hari ini.

Turut mengiringi Rina yang mengadakan lawatan kerja ke Terengganu adalah Pengarah JKM negeri Zuhami Omar dan Pengarah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Timur Zahimi Mohamad.

Pada program itu, Rina turut menyampaikan bantuan keperluan makanan asas dan sumbangan kewangan kepada keluarga terbabit.

Athma mengakui dia amat memerlukan bantuan kewangan terutamanya kos untuk berulang-alik ke klinik kesihatan.

Sementara itu, Rina meminta JKM negeri melakukan pemantauan secara berterusan keadaan Athma dan Mohd Fauzie.

Jelasnya, YKN juga sudah dicadangkan supaya meluluskan bantuan segera prihatin sebanyak RM500 kepada Athma bagi meringankan bebanan kewangan dihadapinya.