Skip to main content

'Anak beritahu mahu rasai pengalaman baharu'

BACHOK: "Petang semalam, saya memang sudah berasa tidak sedap hati memikirkan anak berada di tengah laut sebab cuaca hujan. Tidak disangka firasat saya sebagai ibu ternyata benar apabila mendapat berita anak hilang di laut."

Demikian luahan Ghaniah Deraman, 62, ibu kepada Ahmad Syafiq Che Alim, 29, yang masih belum ditemui bersama tiga lagi pemancing selepas bot mereka naiki terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin, di sini, malam tadi.

Ghaniah berkata, Ahmad Syafiq ada meminta wang bayaran bot dan kelengkapan peralatan sebanyak RM100, selain meminta izin beliau serta suami, Che Alim Muda, 69, untuk mengikut rakannya turun ke laut, tiga hari lalu.

Beliau memaklumkan, ini adalah kali pertama Ahmad Syafiq turun ke laut dan memberitahu mahu merasai pengalaman baharu.

"Wajahnya cukup berseri-seri ketika turun dari rumah, malah sempat mengucup dan bersalaman dengan saya sebelum pergi ke jeti bersama rakan bernama Zaki.

"Pada petang sebelum kejadian, rakan anak ada memberitahu Zaki sempat menelefon ke rumah dan bertanya jika cuaca di Pasir Mas hujan sebab tempat mereka dilanda ribut.

"Itulah panggilan terakhir sebelum mereka gagal dihubungi," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin, di sini, hari ini.

Ghaniah berkata, beliau mengetahui kejadian menimpa anak keempat daripada lima beradik itu kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Saya berharap anak dapat ditemui walau apa keadaan dia sekalipun. Saya menunggu anak di sini dari awal pagi tadi," katanya yang tinggal di Kampung Pengkalan Pasir, Pasir Mas.

Beliau berkata, Ahmad Syafiq sebelum ini belajar di sekolah pondok di Dabong dan berada di rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

Sementara itu, isteri kepada Harun Daud, 57, Rusniwati Abdullah, 50, pula berkata kali terakhir beliau bertemu suaminya pada jam 11.30 tengah hari sebelum Harun turun ke laut.

Beliau berkata, suami sempat menjamu selera dengan nasi kerabu dan sup kaki ayam hasil air tangannya bersama anak sulung mereka, Mohd Ikhwan Harun, 27, yang pulang bercuti di kampung.

"Suami ada meluahkan perasaan tidak mahu turut serta memancing serta mencandat sotong untuk meluangkan lebih masa bersama anak dan cucu, namun kemudian beliau teruskan apabila diajak rakan," katanya.

Bagaimanapun, Rusniwati berkata, beliau reda atas kejadian yang menimpa suaminya dan setia menunggu di jeti untuk perkembangan terkini mangsa yang masih hilang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari, turut hadir di Jeti Kuala Kemasin untuk memberi semangat kepada keluarga mangsa yang berada di lokasi.

Difahamkan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sudah digerakkan ke lokasi bot dilaporkan terbalik, bersama Unit Skuba untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).