Skip to main content

Belum ada kluster gunting rambut: KKM

EMPAT kluster Covid-19 dikesan masih aktif di negara ini sehingga hari ini.

Ia membabitkan kluster Pedas, kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, kluster syarikat pembersihan dan kluster warga emas Kuala Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Pedas mencatatkan sebanyak 295 kes, kluster DTI Bukit Jalil (644), kluster syarikat pembersihan (31) dan kluster warga emas Kuala Selangor (3).

"Kluster Pedas ada pertambahan 15 kes, kluster DTI Bukit Jalil pula pertambahan 14 kes, kluster syarikat pembersihan dua kes dan kluster warga emas Kuala Selangor pertambahan satu kes.

"Manakala 22 kluster yang lain tiada pertambahan dicatatkan pada hari ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 31 kontak rapat tukang gunting rambut warga Pakistan sudah membuat ujian dan saringan Covid-19.

"Daripada jumlah itu, seramai 29 individu sudah mendapat keputusan ujian dan didapati negatif, dan KKM kini menunggu dua lagi keputusan ujian. Setakat ini tidak ada kluster gunting rambut," katanya.