Skip to main content

Bekas peguam tak mengaku salah pecah amanah RM350,000

SEORANG bekas peguam berstatus orang kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas enam tuduhan pecah amanah membabitkan nilai lebih RM350,000.

Tuah Jantan, 60, yang kudung kedua belah kaki dan sebelah tangan itu, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Tuah yang ketika itu bertugas di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin dengan curang melakukan pecah amanah membabitkan wang bayaran urusan penjualan lesen IPTS, bayaran pendahuluan pembelian rumah dan wang pertaruhan projek perumahan berjumlah keseluruhan RM358,344.08.

Semua kesalahan itu dilakukan menerusi enam transaksi berasingan melalui akaun bank CIMB milik firma guaman, pada Oktober 2005 hingga November 2007 di Taman Melaka Raya.

Sehubungan itu, warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksima 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos yang memohon jaminan RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan membabitkan empat pengadu berbeza.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan dia sudah lama tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan selain perlu ke hospital dua kali sebulan bagi menerima rawatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 28 Julai depan bagi sebutan semula kes.