Skip to main content

Bayi terkunci dalam kereta

TINDAKAN pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan bayi perempuan berusia setahun empat bulan yang terperangkap dalam kereta di sebuah stesen minyak di Sungai Limau, Lunas, Kulim, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.15 pagi.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan Bomba di lokasi, terdapat seorang bayi perempuan terkunci di dalam kereta Toyota Corola ketika ibunya sedang berhenti untuk mengisi minyak.

"Mangsa dikeluarkan selepas anggota berjaya membuka pintu kereta berkenaan menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, bayi berkenaan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa diserahkan kepada keluarganya dan operasi tamat pada 8.37 pagi.