Skip to main content

Bapa saudara, rakan jadi korban COVID-19

KUALA LUMPUR: Pemain import Selangor, Sandro da Silva berkongsi kesedihan mengenai penularan pandemik COVID-19 yang kini semakin buruk di Brazil yang turut mengorbankan bapa saudara dan beberapa rakannya.

Situasi itu membuatkan Sandro begitu bimbang terhadap keselamatan keluarga di negara itu terutama ayah dan ibunya.

"Saya kini dalam situasi sukar memandangkan kes di Brazil semakin bertambah dan saya ada keluarga di sana terutama ayah serta ibu. Mereka golongan berisiko kerana faktor usia.

"Oleh kerana perbezaan masa yang terlalu ketara di sana, sukar saya hendak tidur dengan sempurna setiap hari kerana memikirkan keadaan mereka dan saya sentiasa berhubung bagi memastikan tiada apa-apa berlaku.

"Saya berdoa agar keadaan akan cepat baik tambahan situasi politik di sana juga cukup meruncing. Tapi, paling penting, saya mahukan semua saudara saya selamat walaupun saya sudah kehilangan seorang ayah saudara kerana COVID-19.

"Beberapa rakan baik yang bermain bola dengan saya sejak kecil juga meninggal dunia kerana COVID-19 dan saya tidak berkesempatan untuk ucapkan selamat tinggal tetapi inilah kehidupan, kita kena teruskan dan cuba lindungi orang tersayang yang kita masih ada," katanya.

Selepas Amerika Syarikat, Brazil menjadi negara kedua terbesar yang rakyatnya dijangkiti COVID-19 apabila telah melebihi 1 juta selain merekodkan lebih 58,000 kematian setakat hari ini.

Mengenai aksi Liga Malaysia (Liga M) yang dijangka akan disambung tidak lama lagi, Sandro akui semua pemain dan pasukan pasti berdepan tugas sukar dalam membentuk kembali kecergasan selepas tiga bulan tanpa bola sepak.

Biarpun begitu, dia gembira musim ini masih dapat diteruskan dan berharap Selangor mampu bersedia 100 peratus sebelum hadapi perlawanan sulung Liga M.

"Bagi saya situasi sekarang lebih mencabar daripada persiapan pramusim kerana tiga bulan tanpa bola sepak adalah terlalu lama berbanding satu setengah bulan atau dua bulan kita berehat sebaik liga berakhir.

"Sememangnya tahap kecergasan kami untuk turun bermain dalam perlawanan kompetitif sudah berada di tahap terendah namun kami akan cuba fikir positif bagi meraih kembali kemampuan seperti di awal musim," katanya.