--> Skip to main content

Bank Negara keluar dokumen polisi e-KYC

bizh-bnm30//bisnes-lain2

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan dokumen polisi e-KYC (electronic know your customer) bagi mempercepatkan dan menyelaraskan amalan peserta industri dalam penggunaan teknologi e-KYC.

Ia berkata, dokumen polisi itu juga bertujuan untuk mempercepat dan menyelaraskan proses secara dalam talian untuk mengenal pasti dan mengesahkan pelanggan individu.

Katanya, penerapan teknologi e-KYC oleh industri adalah sejajar dengan usaha BNM untuk memudahkan penawaran perkhidmatan kewangan digital yang lebih besar.

Jelasnya, ia diharapkan dapat membuka jalan bagi inovasi yang lebih besar dalam sektor kewangan, termasuk penawaran perkhidmatan kewangan digital secara menyeluruh untuk pelanggan.

"e-KYC membolehkan 'on-boarding' pelanggan digital berlaku bila-bila masa dan di mana saja. Dengan pelaksanaan e-KYC, sebilangan besar pelanggan tidak perlu lagi mengunjungi premis fizikal penyedia perkhidmatan kewangan untuk membuka akaun," katanya dalam satu kenyataan.

Di samping meningkatkan kemudahan pelanggan, BNM berkata, 'on-boarding' pelanggan digital yang diaktifkan oleh e-KYC juga mengurangkan kos bagi pengguna dan penyedia.

Bank pusat itu berkata, ia juga dapat membantu meningkatkan persaingan dalam sektor kewangan dalam jangka masa panjang.

Justeru, katanya, dokumen polisi bertujuan untuk menggalakkan permohonan teknologi e-KYC yang selamat dan terjamin dalam sektor kewangan dengan menjelaskan hasil yang diinginkan dalam penggunaan e-KYC dan menetapkan amalan terbaik, serta menjadi penanda aras bagi memastikan keselamatan dan integriti proses 'on-boarding' pelanggan.

"Dokumen polisi adalah bahagian dari siri langkah yang dilaksanakan BNM dalam memastikan bahawa keperluan peraturan menyokong agenda negara mengenai ekonomi digital," katanya.