Skip to main content

Banglo mewah jadi markas judi online

PETALING JAYA: Sebuah banglo mewah di sini diserbu pihak polis pada Isnin setelah dikenal pasti menjadi markas sindiket perjudian atas talian menerusi aplikasi 'WeChat' didalangi sekumpulan individu warganegara China sekitar jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil serbuan polis berjaya menahan 15 individu warganegara China terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 21 hingga 50-an.

"Sindiket ini mampu meraih keuntungan sebanyak RM150,000 hingga RM200,000 dalam tempoh sehari yang menyasarkan pasaran Kanada dan Beijing.

"Mereka memasuki Malaysia sejak Oktober tahun lepas dan kita telah merampas 11 unit komputer dan 57 telefon bimbit," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Hasil serbuan mendapati kesemua mereka turut dibekalkan dengan stok bekalan makanan yang dihantar oleh terus ke rumah berkenaan selain turut menerima upah sebanyak RM5,000 sebulan.

Ketika serbuan ada antara mereka yang cuba untuk melarikan diri dengan bertindak untuk terjun menerusi tingkap kediaman tersebut namun usaha itu gagal apabila kawasan tersebut telah dikepung pasukan polis.

Polis percaya terdapat beberapa lagi sindiket sama yang masih beroperasi secara berleluasa dan akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan tersebut.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.