Skip to main content

Atlet IPT hadapi ujian besar

KUALA LUMPUR: Cabaran besar menanti atlet Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dijangka akan berdepan jadual padat dalam temasya sukan antarabangsa, tahun depan.

Ia susulan pembatalan dan penangguhan beberapa temasya sukan utama peringkat IPT akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Ini termasuk Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2020 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sepatutnya berlangsung Ogos ini dipinda ke tahun hadapan dan dijangka akan memadatkan takwim sukan IPT 2021.

Apatah lagi temasya sukan terbesar IPT Asia Tenggara atau Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang sepatutnya berlangsung di Thailand pada Disember ini juga ditangguhkan ke hujung Jun 2021.

Malah, ramai atlet IPT juga dijangka terbabit dengan Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor yg sepatutnya berlangsung Julai 2020 tetapi ditangguhkan ke 6 hingga 14 Mac 2021.

Justeru, Ketua Unit Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Dr Pekan Ramli menyuarakan kerisauan mengenai isu kekurangan fasa pra-pertandingan dan juga pertandingan pemanas badan boleh menjadi faktor kegagalan utama untuk atlet berada pada puncak prestasi apabila menyertai temasya besar.

"Tahun 2021 adalah tahun yang dijangka paling memenatkan untuk semua atlet IPT negara yang terpaksa menghadapi pelbagai temasya sukan utama dalam tempoh waktu yang amat padat dan memenatkan.

"Saya harap bahagian persediaan atlet IPT dapat mengemukakan perancangan dengan segera utk memulakan latihan selewat-lewatnya September atau Oktober depan.

"Kita akan mohon kelulusan memulakan latihan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaik menerimanya dari Majlis Sukan IPT," kata Pekan.