Skip to main content

AMK Selangor gesa Daroyah lepas jawatan ADUN

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi segera melepaskan jawatan sebagai ADUN susulan tindakannya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi berkata, tindakan Daroyah yang mengekalkan kedudukan sebagai ADUN mencerminkan sifat beliau sebagai seorang yang bukan sahaja tidak menghormati mandat rakyat bahkan tidak bermaruah.

"AMK Selangor ingin mengulangi gesaan Pengerusi PKR Negeri Selangor agar Dr Daroyah melepaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat kawasan Sementa yang dimenangi atas tiket PKR dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Majoriti pengundi di Sementa memberi kemenangan kepada beliau atas tiket PKR dan bukan atas kapasiti dirinya. Kami yakin sekiranya beliau bertanding atas tiket bebas bagi mewakili dirinya dalam PRU yang lalu, pastinya beliau akan kalah besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan Daroyah meninggalkan PKR tidak lain hanyalah percubaan kecil kelompok yang tertekan dengan khabar berita akan berlaku perubahan besar kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Dari sudut ini, beliau hanyalah budak kecil dalam permainan papan catur dalang pengkhianat yang bergerak sejak Langkah Sheraton lagi.

"Amatlah wajar beliau menyedari hakikat ini dan tidak perlu bertindak terdesak menutup kelemahan diri dengan menuding jari kepada Presiden PKR pula," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Letak jawatan ADUN Sementa jika bermaruah: Amirudin

Menurutnya, semasa di dalam PKR, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan parti yang lain telah memberi laluan besar kepada beliau dengan memberikan ruang bertanding di kerusi selamat di Selangor serta bertanding secara sihat di dalam pemilihan parti.

"Malang sekali langkah kecil dan sumbang beliau sama sekali tidak akan menggugat Keadilan (PKR) di peringkat negeri mahupun nasional.

'Insya-ALLAH, Selangor akan kekal utuh di bawah pentadbiran PH (Pakatan Harapan)," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - ADUN Sementa umum keluar PKR

Pada 13 Jun lalu, Daroyah mengumumkan keluar PKR dan meletakkan kesemua jawatan dalam parti itu.

Beliau turut mengumumkan tidak akan menyertai mana-mana parti dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang 'mesra' Perikatan Nasional.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat berkata, keputusan tersebut dibuat kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diterajui Anwar.