Skip to main content

Ambil kira penjara mandatori

HUKUMAN penjara mandatori perlu diambil kira dalam pindaan undang-undang terhadap kesalahan memandu secara mabuk bagi mengelak kejadian berlarutan di masa depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, isu berkenaan sudah lama dibincangkan dan banyak kertas cadangan dikemuka namun baru kini dilihat kritikal oleh semua pihak.

Katanya, pihaknya menyokong usaha Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meminda undang-undang berkaitan kesalahan itu.

"Semakin kerap kita bercakap mengenainya, esoknya akan ada kes memandu dalam keadaan mabuk. Ia seperti bermusim. Dari satu sudut, saya melihat hukuman yang mencegah perlu dimasukkan dalam pindaan undang-undang baharu itu.

"Perlu ada hukuman pemenjaraan yang mencegah, yang akan mengekang mereka daripada melakukan perbuatan itu.

"Jika ia dibiarkan begitu saja (seperti peruntukan sedia ada) terpulang kepada hakim untuk meletakkan hukuman dan bergantung kepada intepretasi mereka, (sedangkan) hukuman pemenjaraan itu boleh menjadi pencegahan terhadap individu yang fikir mereka boleh minum minuman keras dan membahayakan orang lain," katanya.

Beliau ditemui pada program penyerahan kereta peronda baharu di KDN di sini, semalam.

PDRM menerima 30 kereta peronda baharu jenis Honda Civic 1.8 dan majlis disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kereta peronda itu daripada peruntukan mengurus 2020 secara sewaan konsesi dengan syarikat, Spanco Sdn Bhd bagi tempoh lima tahun.