Skip to main content

Aksi tertutup pelik - Griezmann

PENYERANG Barcelona, Antoine Griezmann, mengakui 'agak pelik' beraksi dalam stadium tanpa kehadiran penonton.

Pendahulu La Liga itu akan kembali meneruskan saingan musim ini dengan kunjungan ke Real Mallorca pada 13 Jun, bagi aksi pertama sejak saingan ditangguh kerana pandemik Covid-19 pada Mac lalu.

Griezmann berkata tidak diragui perasaan itu tidak seperti biasa untuk beraksi tanpa kehadiran peminat kerana Covid-19.

"Perlawanan pertama akan diadakan di Mallorca, tetapi ia sangat aneh untuk bermain tanpa penonton," katanya dalam perbualan di Twitch semalam.

"Ini akan menjadi kali pertama saya menempuhi sesuatu seperti ini."

Dengan 11 baki perlawanan saingan La Liga, Barcelona mendahului dua mata ke atas seterunya, Real Madrid.

Griezmann, yang menjaringkan 14 gol dalam 37 perlawanan musim ini berkata, dia memanfaatkan masa untuk bersama keluarga sepanjang penangguhan saingan.

"Saya tidak pernah berhenti beraksi begitu lama," katanya.

"Ya, memang benar sepanjang tempoh ini saya dapat menikmati waktu meluangkan masa bersama anak-anak saya."