Skip to main content

Aidil puji komitmen Azmeer

PENGUMUMAN pemain pertahanan Azmeer Yusof semalam menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan peminat termasuk ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Menurut Aidil Sharin, Azmeer adalah antara pemain yang sentiasa komited dalam menjalankan tugasnya di bahagian pertahanan dan menyukarkan pemain lawan ketika menyerang kubu Kedah.

"Saya fikir dia seorang pemain yang sentiasa bermotivasi tinggi, komited dalam menjalankan tugasnya terutama dibahagian pertahanan kiri.

"Setiap halangan yang dihadapinya tidak dianggap negatif, malah beliau bijak dalam mencatur gerakan bagi mengekang asakan licik pergerakan pemain lawan.

"Azmeer juga antara pemain yang selalu merujuk kepada saya setiap kali membuat 'homework' sebelum berhadapan dengan pasukan lawan," katanya.

Berdasarkan perjalanan kerjaya Azmeer dalam Liga Malaysia (Liga M), dia adalah pemain yang memiliki pengalaman luas di liga tempatan sejak memulakan karier bola sepaknya secara profesional pada 2008.

Azmeer adalah pemain yang menjulang dua piala bersama Kedah iaitu dengan membantu Lang Merah menjuarai Piala Malaysia pada 2016 serta Piala FA pada tahun lalu.

Dia juga membantu Kedah menduduki tangga ketiga Liga Super, layak ke separuh akhir Piala FA manakala pada 2019 pula Kedah berada pada kedudukan keempat Liga Super dan muncul naib juara Piala Malaysia.