Skip to main content

ADUN Permatang nafi sertai PN

Rozana memuat naik status di laman Facebooknya hari ini.

TANJONG KARANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin menafikan menyokong Perikatan Nasional (PN) seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.

Rozana berkata, senarai nama ADUN didakwa menyokong PN yang turut mengaitkan nama beliau itu disifatkan fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab dan penyebaran fitnah murahan seperti itu tidak sedikit pun menjejaskan usaha serta komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara daripada bencana politik PN.

"Propaganda terancang ini sengaja dilakukan oleh cybertrooper PN yang sangat tertekan dengan perkembangan terkini politik di peringkat Persekutuan sehingga terdesak menyebarkan fitnah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, beliau teguh menyatakan sokongan penuh terhadap pentadbiran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Saya juga berikrar terus kekal setia bersama PKR bagi meneruskan mandat rakyat di Permatang dan akan terus berkhidmat sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung senarai 32 ADUN Selangor yang menyokong PN sekali gus mempunyai majoriti mudah membentuk sebuah kerajaan baharu di negeri berkenaan.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga ADUN Sementa berkata, statusnya dalam DUN Selangor kini adalah sebagai ADUN BEBAS yang mesra PN.