Skip to main content

Abdul Latif dilantik KP Kastam baharu

DATUK Abdul Latif Abdul Kadir dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Abdul Latif, 59, bagi menggantikan Datuk Seri Paddy Abd Halim yang menamatkan perkhidmatannya.

Abdul Latif berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (kepujian) Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) Universiti Putra Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya pada 1985 sebagai Penguasa Kastam di ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata, Abdul Latif berpengalaman luas dalam bidang penguatkuasaan, pengurusan pematuhan, perkastaman dan percukaian.

"Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa dan Pematuhan) serta Pengarah Kastam Negeri.

"Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki beliau akan membolehkan beliau meneruskan aspirasi JKDM ke arah pentadbiran kastam bertaraf dunia," katanya.

Mohd Zuki turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Paddy atas jasa serta khidmat bakti sebagai penjawat awam selama 37 tahun.