Skip to main content

81 rakyat Malaysia terkandas di Selatan Filipina selamat dibawa pulang

PUTRAJAYA: Seramai 81 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina telah selamat dibawa pulang dan tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Khamis.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mereka telah dibawa pulang dengan menaiki sebuah pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan.

Menurutnya, penerbangan itu turut disertai dua orang pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga orang pegawai perubatan TUDM.

"Mereka kini dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah selama 14 hari. Untuk makluman, kumpulan rakyat Malaysia ini telah berdaftar dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City sejak Mac 2020.

"Mereka telah diberikan bantuan konsular serta perhatian sewajarnya oleh Pejabat Konsulat Jeneral serta Kedutaan Besar Malaysia di Manila," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM yang telah membantu memudahkan urusan kepulangan rakyat Malaysia dari Filipina itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin berkata, mereka telah dibawa pulang dengan menaiki sebuah pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan.

"Sesungguhnya usaha ini amat besar nilai dan maknanya kepada negara dan sekaligus membuktikan anggota ATM dan rakyat berpisah tiada.

"Selain itu, saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Republik Filipina serta semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan misi ini," ujarnya.

Tambah beliau, ia termasuklah Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Pejabat Kementerian Luar Negeri Wilayah Sabah, ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM dan MKN Sabah serta agensi lain yang berkaitan.