--> Skip to main content

63 ditahan, termasuk lakukan aktiviti di pub, kelab malam dan urut - Ismail Sabri

PUTRAJAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 63 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Daripada jumlah itu, 49 individu direman dan 14 individu dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti di pub dan kelab malam (44 individu), aktiviti refleksologi atau urut (12 individu) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (7 individu)," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.  Sementara itu 822 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 144 tekong ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilakukan sejak 1 Mei hingga semalam. Turut ditahan 12 individu yang disyaki penyeludup serta 15 kapal.

PDRM juga telah membuat 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 45,116 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM telah berjaya menahan 8 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas  kesalahan imigresen. PATI yang ditahan menjalani saringan COVID-19 dan individu yang positif dihantar ke Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, MAEPS, Serdang untuk rawatan.

"Pusat rawatan ini telah merawat 819 PATI sejak 21 Mei 2020 dan seramai 503 PATI telah didiscaj dan akan dihantar pulang ke negara asal," ujar beliau lagi.

Justeru, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya lorong-lorong tikus.