--> Skip to main content

44 kontak pelajar Mesir negatif Covid-19

EMPAT puluh empat kontak rapat dengan empat pelajar Mesir yang positif Covid-19 didapati negatif selepas ujian saringan yang dilakukan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua kontak rapat berkenaan terdiri daripada ahli keluarga pelajar berkenaan.

Menurutnya, mereka perlu menjalani kuarantin selama dua minggu di kediaman masing-masing walaupun didapati negatif.

"Alhamdulillah, kita sudah mengesan kesemua kontak rapat empat pelajar Mesir yang positif Covid-19 itu sebaik tiba di Kelantan baru-baru ini.

"Kesemua pelajar berkenaan kini menjalani rawatan di Hospital Tumpat dan mereka tidak bergelaja sebagaimana pesakit lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kota Bharu hari ini.

Dr Zaini berkata, empat pelajar berkenaan dalam keadaan stabil dan akan menjalani rawatan selama dua minggu di hospital berkenaan.

"Untuk kes mereka, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat saringan di lapangan terbang sebaik tiba di Malaysia tetapi negatif.

"Bagaimanapun, ujian saringan kedua disahkan positif sebelum empat pelajar berkenaan dihantar ke Hospital Tumpat," katanya.