Skip to main content

4 sekeluarga termasuk bayi selamat

EMPAT sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia enam bulan terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terperosok dalam semak di Jalan Kampung Rambutan, Kuala Nerang, hari ini.

Dalam kejadian 11.15 pagi hari ini, dua penumpang kereta terbabit, Siti Rohani Abd Talib, 19, dan Robiah Abdul Rahman, 47, turut tersepit dalam kereta berkenaan tetapi berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

Bayi perempuan itu, Nur Affiya Alisha Rohaizar dan ibunya, Nur Ain Natasha Abu Talib, 19, berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 11.28 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Faizal Che Me kemudiannya bergegas ke lokasi dan tiba di tempat kejadian pada 11.36 pagi.

"Sebaik tiba didapati dua mangsa iaitu bayi perempuan dan ibunya sudah dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, nenek dan ibu saudara bayi itu tersepit di tempat duduk hadapan dan belakang kenderaan itu kemudiannya berjaya dikeluarkan pada 11.50 pagi.