--> Skip to main content

3.6 juta daftar MySejahtera

SERAMAI 3.6 juta pengguna sudah mendaftar aplikasi MySejahtera yang dilancarkan pada 20 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aplikasi itu mempunyai pelbagai fungsi antaranya 'hotspot tracker' (pengesanan zon merah), penilaian kendiri dan statistik terkiini Covid-19 di Malaysia dan seluruh dunia.

Beliau berkata, MySejahtera Check-In adalah fungsi terbaru diperkenalkan secara rintis pada 1 Jun lalu dan sudah digunakan secara meluas mulai 6 Jun lalu.

"Fungsi ini mendapat sambutan hangat apabila dalam masa hanya 13 hari, 119,837 premis perniagaan sudah mendaftar untuk Kod QR dan sebanyak 10 juta daftar masuk dicatat dari seluruh negara.

"Fungsi MySejahtera Check-In adalah berkonsepkan senang digunakan iaitu tiada lagi borang manual perlu diisi; selamat apabila ia dapat mengurangkan risiko jangkitan melalui sentuhan permukaan kerana tidak perlu berkongsi alat tulis dan mengurangkan tempoh menunggu sebelum memasuki premis serta 'secure' apabila maklumat dan informasi daripada pengguna dilindungi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Ciri aplikasi MySejahtera paling popular adalah hotspot tracker yang digunakan sebanyak 13.3 juta kali sejak pelancaran aplikasi ini," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi yang belum memuat turun aplikasi MySejahtera, KKM mengalu-alukan orang ramai berbuat demikian.

Beliau berkata, aplikasi itu menjadi satu pencapaian boleh dibanggakan demi merealisasikan proses digitalisasi kesihatan di Malaysia.