Skip to main content

30,000 pekerja terjejas terima RM103 juta manfaat ERP

Saravanan (depan, dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Perkeso di Kuala Lumpur. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Setakat Mei lepas, hampir 30,000 pekerja yang terjejas dan hilang pekerjaan mendapat manfaat Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) melibatkan pembayaran berjumlah RM103 juta, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, tiga sektor paling terkesan dan berisiko tertinggi untuk hilang pekerjaan ialah pembuatan, perhotelan dan pelancongan.

"Mungkin (akan) makan masa yang lebih lama untuk mengembalikan (semula) sektor-sektor ini khususnya perhotelan dan pelancongan," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini semalam.

Saravanan berkata, pelbagai inisiatif diperkenalkan kementeriannya untuk membantu pekerja sektor perhotelan dan pelancongan yang terjejas termasuk memberi latihan semula kemahiran dan latihan meningkatkan kemahiran.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di zon utara khususnya di Perak disegerakan.

"Walaupun ini adalah inisiatif bekas menteri sumber manusia (terdahulu), saya lihat ini satu pendekatan yang berkesan untuk mengatasi masalah rakyat yang memerlukan bantuan dari segi rehabilitasi, jadi yang mana betul kita teruskan," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Perkeso, Tan Sri Dr Mohammed Haniffa Abdullah serta Ahli Lembaga Perkeso, Ahli Panel Pelaburan, Ahli Jawatankuasa Insurans Pekerjaan, Ahli Jawatankuasa Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Ahli Lembaga Pusat Rehabilitasi Perkeso Sdn Bhd menerima watikah pelantikan masing-masing.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Aman Datuk Aziz Mohammed. - Bernama