--> Skip to main content

300 meter diekori harimau belang

DIEKORI harimau belang jantan sejauh 300 meter ketika bertugas di kawasan hutan Sungai Yu, Lipis antara detik cemas pernah dilalui sepanjang 39 tahun bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pengalaman itu dilalui Renjer Hutan Hassan Ab Rahman, 60, ketika mula-mula bertugas sebagai pekerja am di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis pada awal 1980-an.

Katanya, ketika itu dia bersama tujuh rakan dalam perjalanan untuk pulang ke khemah dan hanya Tuhan mengetahui perasaan terutama apabila dapat melihat dengan jelas saiz haiwan itu yang begitu besar sambil beberapa kali mengaum.

"Rasa takut dan bimbang kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini begitu menebal.

"Ketua kumpulan ketika itu mengarahkan kami supaya beratur panjang sambil memegang pinggang rakan, berjalan pelahan secara bersama seramai tujuh orang dan jangan bising kerana bimbang harimau belang itu bertindak di luar jangkaan.

"Selaku ketua dan orang lebih berpengalaman dia berada di bahagian belakang sekali sambil membaca janji serapah, selepas kira-kira 300 meter mengekori kami haiwan berkenaan masuk ke dalam hutan," katanya ditemui pada majlis penyampaian sagu hati kepada pesara dan bakal pesara JPNP 2020 JPNP yang disempurnakan Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin di Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau, Kuantan, hari ini.

Hassan yang mula berkhidmat pada 1981 ketika berusia 21 tahun berkata, selain itu detik terserempak dengan kumpulan lima gajah liar di hutan Sungai Yu tidak mungkin dapat dilupakan apabila bunyi haiwan berkenaan begitu menakutkan hingga ada rakan hampir terkencing dalam seluar.

Selain itu, katanya, tiga kali terserempak dengan pengganas komunis bersenjata di kawasan hutan Aur Gading, Lipis turut menimbulkan rasa cemas, bimbang ditembak selain terkena jerangkap samar.

"Bertugas di era 1980 dan 90an begitu mencabar dan menguji kesabaran, setiap bulan terpaksa berada dalam hutan antara 20 hingga 30 hari melakukan pelbagai tugas.

"Selain itu, terpaksa berjalan berpuluh kilometer, berkhemah dalam hutan. Gaji ketika itu cuma RM250 sebulan dan elaun bermalam dalam hutan RM2.66.

"Walaupun pendapatan tidak seberapa namun ia cukup untuk menyara keluarga dan membeli motosikal," katanya yang berasal dari Jerantut Feri.

Sementara itu, Mohd Hizamri berkata, mereka yang bersara diharap tidak terus melupakan JPNP kerana pengalaman dan kemahiran dimiliki tetap berguna oleh generasi muda.